Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhyati Ismail.

TVS sambut ulang tahun kedua, komited sajikan kandungan terbaik

ByTiana Azni

KUCHING, 11 Okt : Semalam stesen televisyen pertama Sarawak, TVS genap berusia dua tahun setelah mula beroperasi pada 10 Oktober 2020 di saluran 122 Astro dan MYTV.

Sepanjang tempoh berkenaan, TVS yang diuruskan oleh Sarawak Media Group (SMG) telah menempuh pelbagai cabaran pahit dan manis walaupun usianya masih ‘hijau’.

Ini termasuklah fakta stesen ini ‘dilahirkan’ ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun berkenaan.

Namun demikian, berbekalkan semangat kental setiap warganya, TVS hari ini berjaya menarik minat penonton dari seluruh negara.

Pengerusi SMG, Dato Norhyati Ismail berkata, TVS bukan hanya ditonton oleh penduduk Sarawak malahan turut menjangkau segmen penonton di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Tambah beliau lagi, TVS meningkatkan sasaran penonton kepada 10 juta menjelang hujung tahun ini.

“Setakat Ogos lepas, TVS telah mencatatkan jumlah penonton unik seramai 9.29 juta dengan 65.4 peratus daripadanya adalah dari Sarawak.

“TVS juga berjaya menarik sembilan peratus dari Sabah,” katanya.

Ujarnya, pelbagai program menarik ditawarkan oleh TVS termasuklah berita terkini, drama bersiri dan juga telemovie hasil produksi tempatan.

“Antara pencapaian yang diraih oleh TVS apabila drama bersiri pertama di Sarawak, Tilit-tilit Cinta terbitan kami berjaya ditayangkan di Netflix,” katanya.

Mengenai usia muda TVS, Norhyati berkata, perkara itu bukan alasan untuk stesen ini bergerak perlahan malahan telah menggariskan pelbagai matlamat untuk memacu perkembangannya supaya setanding dengan saluran lain.

“TVS tetap optimis untuk mencapai misi membangunkan industri kreatif di Sarawak.Pencapaian kami juga dapat dilihat apabila The Penan Project iaitu dokumentari pertama terbitan TVS berjaya mendapat perak di Spotlight Documentary Film Award 2022. 

“Lebih membanggakan apabila dokumentari itu merupakan karya tunggal Malaysia yang berjaya dicalonkan pada anugerah berkenaan,” tambahnya.

Katanya, hasil kerja TVS turut diiktiraf menerusi anugerah tempatan di Sarawak malah berjaya memahat nama dalam anugerah peringkat kebangsaan.

“Pada tahun lepas, TVS meraih kemenangan besar pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang apabila menang tujuh kategori laporan khas manakala wartawan dan pembaca berita kami, Salasiah Safian menerima Anugerah Wartawan Muda A. Samad Ismail pada Malam Wartawan Malaysia 2021,” katanya.

Seiring dengan ledakan pendigitalan termasuk persaingan menerusi media sosial, Norhyati berkata, TVS juga tidak mengabaikan aspek berkenaan.

“Kami melakukan transformasi digital apabila turut menawarkan berita dan hiburan melalui media sosial terutama YouTube, Facebook dan TikTok,” katanya.

Beliau memberitahu, TVS kini mempunyai satu juta pengikut di enam platform media sosial dengan TikTok merupakan yang tertinggi apabila diikuti lebih setengah juta pemilik akaun dan menerima 7.3 juta likes.

“Saluran Youtube TVS turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila ditonton lebih 10.2 juta orang,” katanya.

Mengulas lanjut, Norhyati berkata, sebagai stesen televisyen yang masih baharu, TVS juga tidak dapat lari daripada menerima komen serta kritikan awam.

“Namun untuk meletakkan TVS selari dengan stesen terkemuka dan berkredibiliti yang lain, kami melihat kritikan itu sebagai input untuk memperbaiki operasi secara keseluruhan supaya menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu ditanya tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula, Norhyati berkata, TVS telah bersiap sedia untuk memberi liputan terbaik sejak beberapa bulan yang lalu.

“Kami telah memastikan persediaan mental dan fizikal untuk PRU-15. Ini termasuklah mock run  yang sering kali dilakukan agar setiap tenaga kerja boleh membiasakan diri ketika saat genting dan seterusnya memupuk kerjasama berpasukan,” katanya.

Menutup perbualan, Norhyati memaklumkan, TVS turut menjalinkan kerjasama strategik untuk liputan PRU-15 dengan media tempatan seperti New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak.

“Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, rancangan Malaysia Decides mula bersiaran untuk memberi informasi terkini kepada penonton kami,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan