KUCHING, 11 Okt : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis depan untuk menentukan tarikh – tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat berkenaan akan turut membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah.
“Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dijadualkan mempengerusi mesyuarat berkenaan di Menara SPR pada pukul 10 pagi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Ikmalrudin berkata, antara agenda mesyuarat itu termasuklah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan.
“Selain itu mesyuarat akan menyentuh persiapan bagi pelaksanaan kedua – dua pilihan raya itu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15. – TVS