KUALA LUMPUR, 11 Okt : Barisan Nasional (BN) berazam untuk meletakkan sebanyak 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini.
Selain itu katanya, perundingan pembahagian kerusi antara parti komponen dan Friends of BNÂ akan dimuktamadkan sedikit masa lagi.
“Dewan Tertinggi juga bersetuju dengan usaha untuk mengetengahkan calon – calon baharu yang mempunyai nilai boleh menang, diterima dan disenangi pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mesyuarat berkenaan selama lebih dua jam di Menara Dato Onn di sini malam ini.
Difahamkan pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut hadir selain Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir dalam mesyuarat berkenaan atas kapasitinya mewakili UMNO.
Sementara itu, Zambry berkata, BN juga bersetuju menggunakan Kestabilan dan Kemakmuran sebagai tema utama manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) gabungan itu.
“BN komited untuk memastikan kebajikan rakyat diperkasakan dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi – polisi bersifat rakyat dan seterusnya memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh,” katanya. – TVS