BINTULU, 11 Okt : Seramai 17 individu ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Abang Galau pada Ahad lepas yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Batholomew Umpit berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Terdahulu seramai 16 orang suspek yang ditahan dua hari lepas telah dilanjutkan tempoh reman mereka bagi melengkapkan siasatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, empat suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Sementara itu, beliau memberitahu, polis juga menahan seorang lelaki berusia 36 tahun semalam berhubung insiden sama.
“Suspek yang merupakan lelaki tempatan itu akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan selepas dipercayai memandu sebuah pacuan empat roda secara berbahaya serta melanggar beberapa kenderaan awam ketika kejadian itu,”katanya.
Pergaduhan yang berlaku kira – kira pukul 12.30 tengah malam dipercayai bermula di dalam premis hiburan dan berlarutan di luar. -TVS