SIBU, 9 Okt : Seorang suri rumah di bandar ini ‘berputih mata’ apabila kerugian lebih RM10,000 kerana ditipu oleh ejen maya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pada mulanya mangsa menghubungi ejen berkenaan kerana ingin membuat pinjaman bagi menyelesaikan masalah kewangannya.
Katanya, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai ejen pinjaman ketika melayari media sosial.
“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa dikehendaki membuat pelbagai bayaran bagi urusan pemprosesan untuk mendapat kelulusan segera.
“Mangsa membayar sebanyak RM10, 6532.20 menerusi lapan transaksi ke dua akaun,”katanya menerusi kenyataan media semalam.
Menurutnya, mangsa juga dijanjikan pulangan semula wangnya setelah pinjaman diluluskan.
Bagaimanapun, katanya suspek terus mendesak mangsa untuk membuat beberapa caj pembayaran.
“Wanita itu yang berasa curiga kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,”katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -TVS