KUALA LUMPUR, 9 Okt: Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul malam tadi.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir menyeru para ilmuan agama dan pendakwah di negeri itu untuk meneliti metodologi dakwah yang bersesuaian dalam menangani pelbagai isu agama dihadapi masyarakat, khususnya generasi muda.
Baginda bertitah perkara itu adalah amat penting dalam menghadapi kehidupan moden dengan teknologi maklumat dan dunia yang lebih terbuka.
Titah baginda, Allah SWT telah memberikan garis panduan yang terangkum dalam al-Quran mengenai tatacara melaksanakan seruan ke arah kebaikan dengan menegaskan kaedah yang dapat memperkasa intelektualisme dakwah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
“Ianya meliputi pendekatan dakwah dengan hikmah, memberi pengajaran dan peringatan yang baik serta perdebatan dengan cara tertib dan sopan. Sehubungan itu, masyarakat perlu memperoleh kebaikan dengan cara yang betul berpandukan ajaran Islam yang sebenar.
Pengajaran dan peringatan yang disampaikan secara berhemah mempunyai manfaat sehingga dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada hati orang yang diseru, di samping berupaya mendekatkan mereka tertarik kepada agama Islam,” titah baginda ketika berucap pada Majlis Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Negeri, Seremban di sini yang dihadiri kira-kira 1,000 jemaah.
Tuanku Muhriz bertitah Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan secara terhormat dan dilaksanakan tanpa paksaan, tekanan dan kekerasan.
Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri dengan kesungguhan ditunjukkan bagi memastikan kemajuan dan pembangunan Islam negeri itu sentiasa berada di landasan yang tepat.
Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menggesa umat Islam di negeri itu untuk menghayati tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” dan mencontohi sifat serta sikap Rasulullah.
“Selaras dengan tema yang dipilih itu ia melibatkan tiga teras iaitu konsep keterangkuman, kesamaan dan kesyukuran, oleh itu saya percaya Keluarga Malaysia yang dibina dengan sifat dan sikap Rasulullah dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Abdullah Fahim, di Bertam di sini.
Sambutan di peringkat negeri itu turut menyaksikan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang tahun ini.
Abdul Latiff,77, yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dari 1995 hingga 2000 membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan cenderahati.
Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Ketibaan baginda pada pukul 7 malam tadi disambut Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Abdullah Ya’kub dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Baginda kemudian berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama lebih 500 orang dan mendengar ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Tokoh Hijratul Rasul negeri Kelantan bagi tahun 2022 Dr Mohd Zain Mahmood serta selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. – TVS