KUCHING, 9 Okt : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki autisme yang hilang di kawasan hutan Gunung Bajo, Lundu memasuki hari keempat hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR disambung pada pukul 2.30 petang tadi oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu.
“Usaha diteruskan untuk mencari, Illias IIIyasa Bujang, 21, yang masih belum dijumpai.
“Pencarian turut dibantu oleh Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Dron PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa,” jelas kenyataan itu.
Radius pencarian melibatkan keluasan sekitar tiga kilometer (km) di kawasan berkenaan.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang pada Rabu lalu kira – kira pukul 10 malam.
Menurut BBP Lundu, pakaian terakhir mangsa adalah baju-T berwarna merah dan seluar slack berwarna coklat muda.
Operasi SAR bermula sejak pagi Khamis. – TVS