KOTA KINABALU, 9 Okt : Buatin Blandong memecahkan rekod miliknya sendiri apabila menjadi lelaki tertua yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada umur 90 tahun.
Buatin yang berasal dari Papar berkata, dia berasa sangat teruja apabila diberitahu berjaya memecahkan rekod dan menjadi rakyat Malaysia yang tertua yang menawan puncak setinggi 4,095 meter itu pada 5 September lepas.
“Ini adalah kali kelapan saya mendaki gunung Kinabalu dan merupakan kali kedua memecahkan rekod sendiri.
“Pada 2015, sewaktu berumur 83 tahun, saya secara tidak sengaja memecahkan rekod yang sama.
“Selepas pendakian itu, saya pulang ke rumah dan esoknya mendapat tahu menerusi akhbar bahawa saya telah memecahkan rekod. Sejak itu saya bertekad untuk memecahkan rekod sekali lagi,”katanya.
Berkongsi kisahnya, Buatin memberitahu, pada usia muda, dia sangat aktif dalam sukan dan merupakan bekas pemain bola sepak dan petinju.
Katanya, pada usia ’emas’ sekarang, dia terus mengamalkan gaya hidup aktif apabila melakukan aktiviti seperti berbasikal, larian jarak jauh selain turut terlibat dalam sukan bina badan dan seni silat.
Ditanya tempoh latihan sebelum mendaki, Buatin memberitahu, dia membuat persediaan sejak Mei lepas.
“Saya berlari serta mendaki beberapa bukit di Inobong, Bukit Kopungit dan Bukit Padang secara konsisten sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.
“Ketiga tiga bukit itu mempunyai cabaran pendakian berbeza yang membolehkan saya untuk lebih bersedia mendaki Gunung Kinabalu,”katanya.
Pada masa sama, dia memberitahu turut membuat persediaan membabitkan aspek kerohanian, mental dan fizikal malahan membuat pemeriksaan kesihatan sebelum mendaki bagi memastikan sihat.
Sementara itu, Buatin mengakui, pendakian ke puncak gunung berkenaan penuh dengan cabaran.
“Melakukan pendaftaran sahaja sudah cukup mencabar kerana rancangan untuk mula mendaki pada pukul 8 pagi tidak dapat dilaksanakan atas beberapa perkara yang dapat dielakkan.
“Selepas tiga kilometer (km) mendaki, hujan mula turun dan semakin lebat di km 4.5 sehingga menyukarkan pendakian kerana air deras mengalir di celah batu selain suhu yang semakin sejuk dan penglihatan mula terbatas,”katanya.
Katanya di sebalik cabaran cuaca, dia tetap mahu menamatkan misi dan keinginan untuk memecah rekod sendiri menjadi azimat untuk meneruskan langkah ke puncak.
Buatin akhirnya berjaya menawan puncak itu pada pukul 2.20 petang hari dan selamat tiba di Timpohon Gate pada pukul 6.15 petang keesokan harinya.
“Pesanan saya, mesti berlatih secukupnya kerana tanpa latihan yang mencukupi, anda mungkin berdepan kesukaran,” katanya.
Menutup bicara, Buatin berharap agar pencapaiannya itu akan memberi semangat kepada lebih ramai rakyat Sabah untuk mendaki Gunung Kinabalu dan melakukan perkara yang difikirkan mustahil.
“Saya turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin mencabar rekod saya dan keluar daripada zon selesa masing – masing,”katanya. -TVS