KUCHING, 9 Okt : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diundang sebagai ahli panel forum menangani perubahan iklim di Jepun.
Menurut Kerajaan Metropolitan Tokyo yang merupakan penganjur, forum bertajuk Time To Act itu merupakan gerakan untuk mempercepatkan ke arah penyahkarbon.
“Ahli panel lain termasuklah Gabenor Tokyo, Yuriko Koike dan Premier New South Wales, Australia, Dominic Perrottet.
“Turut diundang ialah Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti, Duta India di Jepun, Sanjay Kumar Verma dan Pengerusi Kawasaki Heavy Industries Ltd. yang juga Pengerusi Bersama Majlis Hidrogren, Yoshinori Kanehana,” jelas penganjur menerusi laman web.
Forum berkenaan antara lain akan berkongsi maklumat berhubung penggunaan tenaga hidrogren yang lebih luas di seluruh dunia.
“Forum ini juga akan menyeru supaya tindakan konkrit segera diambil untuk mencegah ancaman krisis iklim yang semakin serius,”jelas penganjur.
Sementara itu, Abang Johari turut dijadual melawat kilang Toyota Motor Corporation Motomachi dan bertemu dengan pengurusan Sumitomo Corporation.
Beliau akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd. yang mahu mengembangkan kilang pembuatan sedia ada di Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu.
Abang Johari akan diiringi oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak. -TVS