MIRI, 8 Okt : Sebanyak 627 pusat pemindahan sementara di Sarawak sedia diaktifkan sekiranya berlaku banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata selain itu, persiapan turut membabitkan 23 pusat simpanan makanan kering di seluruh negeri.
Agensi dan jabatan kerajaan berkaitan juga sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir dan bencana lain, katanya pada sidang media, selepas taklimat mesyuarat mengenai persiapan banjir di sini pada Jumaat.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, bagi menangani kerosakan kemudahan awam akibat banjir, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan khas RM50 juta.
Peruntukan ini diluluskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mesyuarat Kabinet Negeri.
“Sebelum ini, kita tidak mempunyai dana khas untuk membaiki infrastruktur awam yang rosak akibat banjir, dan sebab itu kerajaan negeri telah mewujudkan program tersebut,” katanya.
Menurutnya lagi, Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti telah ditubuhkan. Pasukan yang dianggotai lebih 11,800 ahli ini berperanan memberi bantuan kepada mangsa banjir. – TVS