SINIAWAN, 8 Okt : Pekan Siniawan ceria dengan kehadiran lebih 1,000 orang yang memeriahkan Festival Siniawan Country Music pada Jumaat malam.
Rata-rata mengenakan topi ala ‘koboi’ ke festival yang julung kali diadakan pada 2016, namun ia tidak dianjurkan selama dua tahun akibat penularan COVID-19.
Ia merupakan acara tahunan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak sehingga pekan itu mendapat jolokan Pekan Koboi dan menjadikan genre muzik country sebagai identiti festival.
“Keharmonian kaum dan agama di Sarawak dapat dipupuk dan disemai melalui penganjuran festival seumpama ini,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep yang berucap merasmikan festival ini.
Beliau menambah: “Kita juga telah berjaya mempromosikan Siniawan kepada dunia dan di Malaysia. Siniawan adalah satu-satunya tempat yang menganjurkan festival ini.”
Tahun ini, festival ini kembali dengan tema We Are Back dan sejak 4 Oktober lalu dengan kemuncak festival pada Jumaat malam dan Sabtu malam.
Antara kumpulan yang akan tampik dengan persembahan muzik ialah Roddy Radiation and the Skabilly Rebels dari London, kumpulan Hybrid dari kampong Semebak, Peter Engkabang dari Betong dan Reggie Singh dari Pulau Pinang.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh dan ADUN Bukit Semuja John Ilus. – TVS