MIRI, 8 Okt: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran untuk memudahkan aktiviti ekonomi dan pelaburan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, infrastruktur seperti jaringan jalan raya yang baik dan efisien amat mustahak untuk membangunkan ekonomi negeri ini dengan lebih pantas.
Ini memerlukan dana yang banyak, justeru bajet tahunan negeri dan persekutuan tidak mencukupi bagi membiayai kos membina jalan raya dan jambatan.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Tun Taib buka ruang untuk Sarawak melangkah ke era pemodenan
- 2. PM dahului senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak
- 3.1,500 hadiri majlis kesyukuran sempena hari ulang tahun Tun Taib
“Alhamdullilah, melalui pembiayaan alternatif dengan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS, kerajaan dapat melaksanakan program untuk menyediakan infrastrukutur yang begitu penting untuk memacu aktiviti ekonomi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa bersempena Sambutan Hari Lahir ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, di sini hari ini.
Beliau berkata lagi, tarif elektrik yang kompetitif juga antara faktor untuk menarik kemasukan pelabur asing ke negeri ini.
“Dengan mengambil alih Empangan Hidro Elektrik Bakun daripada Kerajaan Persekutuan pada 2018, Sarawak kini mempunyai kuasa penuh terhadap operasi penjanaan elektrik dan juga kuasa untuk menentukan tarif elektrik,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh berkenaan pembangun di Miri, beliau yakin ia akan terus rancak dengan peningkatan aktiviti industri minyak dan gas.
“Alhamdulillah. Shell yang sudah lama meninggalkan Miri kini kembali ke Miri dan pastikan akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di bandar ini.
“Rizab minyak di daratan masih terdapat di sekitar Bahagian Miri, terutamanya di Selatan Marudi yang akan diusahakan oleh Sarawak sendiri berdasarkan kuasa negeri ini di bawah OMO 1958,” ujarnya. – TVS