KUCHING, 8 Okt : Polis menumpaskan Geng Ali Kuantao yang dipercayai melakukan samun bersenjata dengan mensasarkan kedai serbaneka beroperasi 24 jam di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata pihaknya memberkas enam suspek lelaki tempatan dalam lingkungan umur 20 hingga 26 tahun pada 5 dan 6 Oktober lepas.
Turut dirampas senjata dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah oleh ahli-ahli kumpulan yang memiliki rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dadah dan harta benda.
“Kumpulan ini baru bergiat aktif pada awal tahun ini selepas sektor ekonomi telah beroperasi.
“Mereka ini sebenarnya adalah gabungan daripada bekas penjenayah yang mempunyai rekod lampau dan bergabung untuk melakukan kegiatan samun di premis yang beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Semua suspek telah direman tujuh hari bermula 5 sehingga 13 Oktober.
Sehubungan itu, lima kes kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan dikenakan hukuman sebat. – TVS