JOHOR BAHRU, 6 Okt: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin tidak menghalang sekiranya anak sulungnya ingin mengikut jejak langkah untuk menjadi seorang penyanyi pada suatu hari nanti.
Beliau bagaimanapun menzahirkan kebimbangan sekiranya Siti Aafiyah Khalid, 4, tidak mampu menempuhi cabaran dalam dunia seni, dan lebih gembira sekiranya kerjaya lain menjadi pilihan.
“Saya sendiri sudah mengharungi (cabaran) industri ini selama 26 tahun, saya bersyukur dijaga dengan baik oleh kedua ibu bapa, dan berjaya mengharunginya,” katanya pada sidang media sempena persembahan eksklusif konsert ‘A Night To Remember’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
“Bagaimanapun sebagai ibu, saya risau anak saya mampu atau tidak, adakah nanti hanyut atau tidak, ini adalah kerisauan ibu bapa, namun, saya lebih gembiralah kalau dia memilih untuk menjadi businesswoman atau lain-lain,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan respons berhubung sokongannya jika Siti Aafiyah memilih untuk menjadi penyanyi, susulan beberapa video tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan anaknya itu bernyanyi.
Penyanyi nombor satu negara itu berkata tidak mudah untuk menjadi seorang artis, dan ia tidak seindah seperti mana yang disangkakan orang ramai, namun menjelaskan beliau tidak menghalang jika itu menjadi pilihan anak perempuannya itu.
“Saya sebagai ibu kena beri sokongan, cuma dia ada pilihan apabila dewasa nanti, dan ibu bapa mesti mahukan anak dia kerjaya yang terbaik. Sudah tentu ayah dia mahu anak jadi businesswoman dan meneruskan perniagaan yang saya ada.
Sementara itu merujuk kepada konsert ‘A Night To Remember’ yang dijadualkan di Persada Johor pada 18 dan 19 Nov depan, Siti Nurhaliza yang lebih mesra dipanggil Tokti berkata beliau akan memastikan persembahannya nanti meninggalkan kenangan yang tidak mudah dilupakan oleh peminatnya.
“Dalam persembahan, saya tidak boleh lari daripada menyanyikan lagu-lagu hits saya dengan memberikan sentuhan yang berbeza,” kata beliau yang menjangka 20 lagu akan dipersembahkan pada konsertnya nanti.
Konsert yang turut membawa penampilan istimewa penyanyi Aina Abdul dan Khai Bahar itu disasar menghimpunkan 5,000 peminat Siti Nurhaliza, dan setakat ini kira-kira 35 peratus tiket konsert sudah ‘disambar’ peminat sejak ia mula dijual pada 4 Okt, dengan harga tiket bermula daripada RM299.
Kali terakhir penyanyi tersohor itu menjayakan konsert di Johor adalah kira-kira 10 tahun lepas. -TVS