KUCHING, 6 Okt : Sarawak terpilih menjadi tuan rumah pertama di Asia yang akan menganjurkan persidangan antarabangsa, Participatory Design Conference (PDC).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persidangan itu akan dianjurkan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu pada 2024.
Katanya, Sibu berjaya mengalahkan beberapa bandar raya lain yang turut berhasrat menganjurkan persidangan itu yang bertemakan Reaching Out : Connecting Beyond Participation.
“Ini merupakan inisiatif penting bagi mencapai perubahan berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat mencabar pada masa ini,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, persidangan itu mendapat sokongan Kerajaan Sarawak menerusi kementeriannya.
“PDC 2024 yang dijangka akan dihadiri oleh 500 perwakilan dari seluruh dunia antara lain bertujuan untuk mengembangkan jalinan baharu dengan komuniti penyelidik, pihak berkepentingan serta pengamal di Malaysia dan antarabangsa,”katanya.
Tambahnya lagi, PDC 2024 penting bagi Sarawak khususnya dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Menerusi kerjasama ini, keperluan rakyat akan dapat dipenuhi dan aspirasi kerajaan ke arah destinasi yang makmur, lestari dan berpendapatan tinggi dapat dicapai,”katanya. -TVS