Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Wee Hong Seng dan Eleanor pada Majlis Pelancaran Kolektif Kraftangan Yarn, Wild & Free di Jalan Padungan, Kuching pada Khamis. -Foto: TVS

Kraftangan Yarn, Wild & Free menambah seri Jalan Padungan

KUCHING, 6 Okt: Usaha menceriakan keindahan bandar raya Kuching terus dipergiat menerusi penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Lazimnya seni jalanan dikaitkan dengan lukisan mural bagi mencantikkan struktur binaan lama yang diberi sentuhan kreatif.

Berbeza pula dengan kraftangan kolektif Yarn, Wild and Free yang tampil dengan seni jalanan tersendiri menerusi pelbagai produk kraftangan seperti jahitan, batik, manik dan sebagainya yang diadakan selaras dengan penganjuran What About Kuching (WAK).

“Biasanya kita lihat mural sebagai seni jalanan tetapi tidak seni kraftangan sebagai salah satu hasil seni jalanan lain. Ramai orang beranggapan bahawa penggiat kraftangan hanyalah pengusaha, tetapi mereka secara tidak langsung merupakan artis kraf dengan cara tersendiri.

“Oleh itu kami mahu mengetengahkan seni jalanan menerusi hasil kraftangan yang menjanjikan kelainan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran kraftangan kolektif Yarn, Wild & Free di Jalan Padungan di sini pada Khamis.

Menurut Eleanor, ia merupakan julung kali diadakan di Sarawak, dan pemilihan Jalan Padungan dilihat tepat kerana lokasinya yang strategik serta mempunyai nilai sentimental untuk diceriakan dengan hasil kraf tempatan.

Ia merupakan platform terbaik sebagai nilai tambah kepada sektor pelancongan khususnya di Kuching yang secara tidak langsung mampu menarik penglibatan pemain industri bukan sahaja tempatan malah antarabangsa.

“Kita berharap apa yang diusahakan ini tidak terhenti di sini sahaja, kita mahu mengembangkannya agar penggiat kraftangan di luar sana dapat menyumbang juga dalam usaha mengindahkan suasana di Padungan.

“Untuk rekod, program seperti dianjurkan dengan skala besar di luar negara, jika mereka boleh melakukannya, kenapa tidak di Sarawak, saya yakin ia mampu dilaksanakan di sini juga, di Malaysia amnya,” katanya.

Projek seni jalanan itu turut melibatkan enam pengusaha yang terdiri daripada pelbagai genre kraftangan termasuk Benang Studio, Off The Paint, KnitBits Rbl Rara Collection, Scars dan Mantra Collection.

Sementara itu Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sedia membantu dan bekerjasama dengan bakat tempatan memperkenalkan hasil kraftangan dalam usaha meningkatkan keceriaan bandar raya.

Mengambil kira sejarah Padungan yang berusia 100 tahun itu, katanya usaha tersebut sangat penting dalam mengembalikan keindahannya.

“Untuk usaha seperti ini, kita (MBKS) tidak akan melihat sahaja, tetapi akan berusaha untuk membantu apa yang perlu.

“Walaupun bukan dari segi bantuan dana dan kewangan, tetapi kami boleh bekerjasama dengan anda yang memiliki matlamat sama iaitu mengindahkan dan menghidupkan semula kawasan Padungan.

“Begitu juga usaha yang sedang kami laksanakan sekarang iaitu untuk mengembalikan kegemilangan Padungan seperti sebelum ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan