KUCHING, 6 Okt : Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan pada Jumaat (7 Okt) diharap dapat memberi lebih banyak peruntukan dan manfaat untuk Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata pembentangan bajet seperti kelaziman merupakan perkara yang dinanti-nantikan orang ramai.
“Kami juga menantikan pengumuman bajet dan berharap agar Sarawak mendapat peruntukan yang memuaskan. Kami menjangka ia akan memberi kebaikan kepada Sarawak dan seluruh negara.
“Kita akan tunggu dan dengar pengumuman bajet and setelah itu baru saya boleh memberikan komen dan saya berharap bajet ini dapat memberikan manfaat kepada semua terutamanya kita di Sarawak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Samariang 2022 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik penguatkuasaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa pada Rabu (5 Oktober).
“Undang-undang telah diluluskan di Parlimen dan kami menyokong penuh keputusan tersebut malah melihat tiada masalah bagi pelaksanaannya,” ujarnya.