KUCHING, 5 Okt: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Utom mahu warga kerja di bawah kementeriannya beramanah, berintegriti dan berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menurutnya, setiap pegawai kerajaan termasuk dirinya dikehendaki mengangkat sumpah dan berikrar, kemudian mengamalkannya dengan matlamat agensi-agensi kerajaan bebas dari amalan rasuah.
“Sewaktu saya menjadi menteri dan wakil rakyat, saya telah mengangkat sumpah untuk memegang amanah dan berintegriti. Integriti mencerminkan diri kita. Siapa sebenar diri kita bergantung dengan integriti dan amanah yang kita tunjukkan ketika melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Integriti peringkat Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak 2022 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, warga kerja kementerian tersebut melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah.
Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) terdiri daripada Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Martin Ben dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Penguasa Kanan SPRM Sarawak, Maini @ Anie William. – TVS