Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Empat individu termasuk tiga sekeluarga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di George Town hari ini atas pertuduhan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM300 juta. Foto: TVS

Tiga beranak mengaku tidak salah kes pengubahan wang haram RM300 juta

GEORGETOWN , 5 Okt : Tiga beranak merupakan antara empat yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 150 pertuduhan membabitkan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM300 juta sekitar Mei 2018 hingga Disember 2020.

Tertuduh, Mohd. Nasri Abdul Rahim, 36, Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53, Resool Bivi Yusof Gini, 50, dan Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Khalid Abdul Karim dan Mazdi Abdul Hamid.

Mohd. Nasri didakwa atas 118 pertuduhan menerima, memindah dan menggunakan antara RM50,000 hingga RM15.862 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram untuk kegunaan peribadi termasuk pembelian saham.

Abdul Wahab didakwa atas 30 pertuduhan termasuk dua pertuduhan bersama isteri serta anaknya iaitu menerima, memindah dan menggunakan antara RM11,868 hingga RM117 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram untuk kegunaan peribadi termasuk pembelian hartanah.

Sementara itu, anak kepada Abdul Wahab, Nur Hafeezah didakwa atas satu pertuduhan memindahkan RM114,225 yang merupakan hasil aktiviti haram untuk pembelian hartanah.

Manakala isteri Abdul Wahab, Resool Bivi didakwa atas satu pertuduhan memindahkan RM98,674 yang merupakan hasil aktiviti haram untuk pembelian hartanah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Semenanjung Malaysia antara Mei 2018 hingga Disember 2020.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong manakala Mohd. Nasri diwakili peguam, S. Raveentharan dan Mashitah Jamaluddin@Mohammad Shukri mewakili Abdul Wahab. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

ByBernama-
ByBernama-
ByBernama-