KUALA LUMPUR, 5 Okt : Kerajaan Sarawak komited untuk memacu pertumbuhan industri kreatif tempatan dengan menyediakan ruang kepada pemain industri berkarya menerusi stesen televisyen TVS yang dikendalikan oleh Sarawak Media Group (SMG).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Zulkapli berkata, menerusi sesi saringan perolehan (pitching) yang dilakukan TVS pada April dan Mei lepas, pihaknya menerima lebih 500 idea kreatif yang dikemukakan oleh penggiat seni tempatan.
Katanya, daripada jumlah itu sekitar 160 idea telah terpilih untuk diterbitkan sebagai drama, dokumentari, travelog dan program berbentuk majalah.
“TVS mengadakan sesi pitching sebanyak dua kali setahun kerana kita dengan kerjasama Kerajaan Sarawak mahu membuka peliang untuk penggiat, penerbit dan pengarah.
“Idea yang diterima akan diberikan geran untuk diterbitkan dan mengikut harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir sidang media pelancaran Getaran Jiwa di Rumah Tangsi, di sini semalam.
Menurut Rizal, langkah berkenaan ialah kerana mahu menonjolkan keistimewaan Sarawak terutamanya membabitkan aspek seni, budaya dan pelancongan untuk dikongsi bersama penonton di seluruh negara.
Katanya, ruang yang disediakan itu bagi membolehkan penonton ‘lebih kenal’ dengan Sarawak memandangkan kebanyakan program yang diterbitkan oleh stesen – stesen televisyen di Lembah Klang cenderung berkonsepkan KL Centric.
Sementara itu ditanya mengenai Getaran Jiwa, Rizal berkata, rancangan realiti selama lapan minggu ini memberi pendedahan baharu kepada tenaga kerja TVS untuk menerbitkan program berskala besar yang akan dibawakan secara langsung dari Kuching ke seluruh negara.
“Pertamanya kita berusaha untuk ketengahkan bakat – bakat tempatan dan ini merupakan cubaan pertama TVS.
“Kami berharap tenaga kerja di Sarawak dapat belajar dari pakar – pakar di sini menerusi perkongsian kepakaran dan pada masa hadapan, kami (TVS) dapat melaksanakan sendiri program berskala besar ini,” katanya. -TVS