Presiden PBPM Mokhtar Omar berkata elaun RM300 sebulan juga harap dapat diberikan kepada isteri atau suami yang menjaga dan mengurus pesara polis yang uzur.
“Selain itu, sudah tiba masanya kerajaan melihat mengenai isu penyelarasan pencen kerana perbezaan pencen pada zaman dahulu dan zaman sekarang amat ketara.
“Kerajaan perlu lihat semua perkara ini dengan lebih serius sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan bekas angota polis yang merupakan pahlawan negara sehingga membolehkan rakyat dapat hidup aman damai,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Mokhtar turut mencadangkan agar potongan harga sebanyak 25 peratus diberikan kepada pesara PDRM untuk pembelian rumah pertama selain memberi dana khas berbentuk geran secara tahunan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti dan kebajikan ahli PBPM.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan akan menambah bilangan perjawatan dan elaun khidmat sukarelawan selain pemberian tanah bagi pembinaan bangunan pentadbiran dan operasi agensi itu bagi meningkatkan keberkesanan dan mutu penyampaiannya.
Menurut jurucakap APM peruntukan mengurus dan pembangunan tahunan bagi agensi itu juga perlu ditambah bagi membolehkan lebih banyak program latihan dan kesedaran awam dilaksanakan.
“Sehingga kini, APM memiliki enam pejabat sendiri namun selaku agensi yang bertanggungjawab sebagai sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah, diharap semua negeri dapat memiliki bangunan sendiri dan mendapat peruntukan khas menerusi pembentangan bajet pada kali ini.
“Wajar juga jika diwujudkan skim Perkhidmatan Pertahanan Awam baharu yang digubal berdasarkan keperluan dan peranan penjawat Awam,” katanya. -TVS