Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tanjung Datu National Park. Foto: Sarawak Tourism Board (STB).

Bajet 2023: Pakar, aktivis, gesa kerajaan utamakan perlindungan alam sekitar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Okt : Pakar dan aktivis menyeru kerajaan agar mengutamakan inisiatif pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menurut Pengasas Bersama dan Naib Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan MareCet Fairul Izmal Jamal Hisne, tumpuan ke arah penambahbaikan alam sekitar adalah penting kerana Malaysia begitu terjejas dengan perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan biodiversiti, yang dikenal pasti oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis global.

Beliau berkata banyak isu yang dihadapi Malaysia seperti corak cuaca tidak menentu, bencana alam, kemusnahan habitat hidupan darat dan marin, malah kekurangan sekuriti makanan boleh berpunca daripada keadaan alam sekitar yang semakin merosot.

“Kita perlu meletakkan agenda melindungi alam sekitar sebagai keutamaan. Kita membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun untuk menyembuhkan gejala itu.

“Perkara ini perlu diubah, belanjawan harus mencerminkan bahawa kita sedang menangani punca utama,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Fairul Izmal yang turut mengetuai pasukan alam sekitar untuk firma perunding, mencadangkan peruntukan pembiayaan yang mencukupi untuk memulihara sumber asli negara seimbang dengan jumlah yang diperuntukkan untuk pembangunan.

Beliau berkata bajet akan datang ini juga perlu memasukkan insentif dan peruntukan untuk membina infrastruktur yang akan memudahkan peralihan ke arah tenaga hijau dan boleh diperbaharui seperti mempromosikan kenderaan elektrik yang akan mengurangkan pelepasan karbon, satu faktor lazim perubahan iklim.

“Kita boleh melihat negara lain yang sedang menuju ke arah karbon sifar bersih, yang jauh lebih baik daripada kita sekarang. Mereka menyediakan infrastruktur supaya tenaga boleh diperbaharui dapat digunakan dan membolehkan orang ramai membeli ‘kenderaan hijau’ atau mesra alam.

“Tiada infrastruktur ditempatkan di luar Lembah Klang dan orang ramai lebih suka memilih sesuatu yang lebih mudah. Peranan kerajaan adalah untuk menyediakan infrastruktur untuk kita merealisasikan peralihan tenaga ini,” katanya.

Kerajaan katanya, perlu melihat kepada keperluan kewangan agensinya yang bertanggungjawab melindungi alam sekitar, bagi membolehkan agensi berkenaan beroperasi dengan berkesan serta melabur dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dengan memanfaatkan universiti, kumpulan penyelidik dan badan bukan kerajaan.

Menyuarakan pendapat sama, pencinta alam sekitar Leela Panikkar berkata kerajaan harus meneroka jalan untuk melibatkan masyarakat dalam usaha menanam rasa tanggungjawab bersama dalam melindungi alam sekitar.

Beliau berkata hal ini boleh dicapai melalui peruntukan untuk masyarakat membangunkan program pemuliharaan tempatan khususnya di kawasan luar bandar.

“Pemeliharaan alam sekitar boleh menjadi rangsangan kepada industri pelancongan negara, terutamanya menerusi ekopelancongan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia Mohd Yusaimi Md Yusof berpandangan dana perlu disalurkan kepada pemerolehan dan pembangunan teknologi alam sekitar yang baharu.

Kesan alam sekitar terhadap pelaburan infrastruktur baharu juga perlu diambil kira dalam pembentangan belanjawan nanti, katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan