PUTRAJAYA, 4 Okt : Satu kaji selidik mendapati purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di Malaysia meningkat 3.5 peratus kepada RM3,037 pada 2021 berbanding RM2,933 pada 2020.
Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan menyatakan terdapat 9.7 juta penerima gaji dan upah di negara ini pada 2021 bertambah sebanyak 3.4 peratus berbanding 9.4 juta orang pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata peningkatan gaji dan upah bulanan sebahagiannya disumbangkan oleh aktiviti ekonomi serta sosial yang berterusan pada separuh kedua 2021 setelah negara dilanda pandemik COVID-19.
Laporan kaji selidik itu mengandungi statistik utama gaji dan upah iaitu penengah dan purata gaji dan upah bulanan mengikut ciri-ciri demografi serta sosioekonomi berdasarkan kaji selidik yang dijalankan dari Januari hingga Disember 2021 ke atas semua isi rumah di seluruh negara.
Menurut laporan itu, nilai penengah gaji dan upah bulanan mencatatkan peningkatan daripada RM2,062 pada 2020 kepada RM2,250 pada 2021.
“Pada 2021 didapati penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,315 dan pekerja perempuan RM2,145 iaitu masing-masing meningkat 10.6 peratus dan 6.2 peratus berbanding 2020.
“Purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki meningkat 4.1 peratus kepada RM3,085 dan pekerja perempuan meningkat 2.7 peratus kepada RM2,968 berbanding tahun sebelumnya,” kata Mohd Uzir.
Beliau berkata nilai penengah dan purata gaji juga upah bulanan untuk pekerja berpendidikan di peringkat tertiari mencatatkan peningkatan iaitu RM3,794 pada 2021 berbanding RM3,499 pada 2020.
“Keadaan ini memberi isyarat bahawa ekonomi Malaysia berada dalam momentum pemulihan,” katanya.
Ketua Perangkawan itu berkata berdasarkan laporan tersebut, Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi iaitu sebanyak RM4,504 diikuti Kuala Lumpur (RM4,013), Selangor (RM3,543), WP Labuan (RM3,268), Pulau Pinang (RM3,080) dan Negeri Sembilan (RM3,045). – TVS