Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto TVS.

PDRM siap sedia hadapi PRU15 dalam masa terdekat

ByBernama

GEORGE TOWN, 4 Okt: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa membuat persediaan rapi dari segi sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata justeru, pasukannya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

“Untuk PRU15 sekarang ini nampaknya sedang hangat diperkatakan dan seperti mana tahun terdahulu, PDRM dah buat persiapan rapi dari pelbagai sumber terutama manusia dan aset-aset bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya itu.

“Insya-Allah dengan persiapan kita laksanakan dan aturkan, pilihan raya akan berjalan lancar, tenteram dan aman. Kalau PRU15 dalam masa terdekat kami pihak polis sedia berkhidmat jadi kita sentiasa siap sedia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pulau Pinang Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pangkalan Polis Marin Batu Uban, di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.

Pada 30 Sept lepas, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Acryl Sani berkata sejak Januari hingga Ogos tahun ini, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merekodkan nilai rampasan sebanyak RM292 juta membabitkan 5,103 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan lain-lain berbanding 4,463 kes dengan nilai rampasan RM247 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes dan nilai rampasan bagi tempoh kajian itu membuktikan bahawa tindakan proaktif PPM membuahkan hasil.

“Masyarakat menganggap bahawa PPM hanya menjalankan tanggungjawab menjaga perairan negara, namun pada hakikatnya fungsi PPM adalah jauh lebih luas dan mencabar.

“PPM antara barisan hadapan yang turut sama berusaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan penyelewengan sumber khazanah laut dan hasil hutan yang menyebabkan ketirisan hasil negara,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan