Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
(Dari kiri) Alvin Kong Wei Ee, Vun Xiu Xuan dan Lai Chaun Choy yang akan ke pertandingan robotik di Jerman. - Foto: TVS

Guru pelatih IPGKS Miri galas cabaran Malaysia ke pertandingan robot di Jerman

MIRI, 4 Okt : Tiga guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) Miri akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Peringkat Akhir Antarabangsa World Robotic Olympiad (WRO) di Dortmund, Jerman pada 17 hingga 19 November 2022.

Lai Chaun Choy, Vun Xiu Xuan dan Alvin Kong Wei Ee yang dibimbing pensyarah, Tracy Mensan, Dr. Hu Laey Nee dan Dr. Norsarihan Ahmad akan berentap dalam kategori Future Engineers.

Pasukan itu perlu memastikan robot yang dicipta berfungsi sempurna di litar.

Alvin berkata pasukannya akan menjalani latihan intensif bersama pensyarah sebagai persediaaan sebelum ke Jerman.

“Untuk latihan intensif selepas ini, kami akan mengadakan latihan yang lebih tersusun. Selepas ini, kami juga akan bersama pensyarah meneroka teknik dan kemahiran tentang robotik untuk mencapai kejayaan yang baik,” katanya ketika ditemui TVS pada Isnin (3 Oktober).

Antara kemahiran yang mereka hendak tambahbaik dalam membina robot adalah untuk memastikan sensor yang dipasang pada robot mereka tidak mengalami masalah.

Pada masa sama, mereka tidak dapat menyembunyikan keterujaan kerana ini merupakan pengalaman pertama mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Di samping menimba pengalaman baharu, Alvin dan ahli pasukannya juga akan berusaha sebaik mungkin untuk menjuarai pertandingan.

Sebelum ini mereka menjuarai Pertandingan Robotik di IPG Kampus Sultan Mizan.

Pensyarah Cemerlang Unit Matematik, Jabatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM), Dr. Hu Laey Nee, berkata mereka akan menyediakan latihan lebih intensif kepada para peserta untuk membina keyakinan mereka.

“Untuk persediaan ke Jerman, bermula dari minggu ini kita akan melakukan latihan yang lebih intensif lagi kerana pasukan ini memang dipilih untuk mewakili Malaysia. Kita mengharapkan dengan latihan lebih intensif, kita cuba mengatasi cabaran yang dihadapi sebelum pelajar ini bersedia sepenuhnya dengan keyakinan tinggi untuk mewakili Malaysia ke Jerman,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ketua Unit Sains Jabatan STEM, Tracy Mensan berkata dari segi teknikal, mereka perlu memastikan kit-kit dan alatan berada dalam keadaan elok di samping mendapatkan kit tambahan untuk masalah yang tidak dijangka.

Timbalan Pengarah IPGKS, Chin Peng Yee pula berkata buat masa ini, IPGKS amat memerlukan dana sekurang-kurangnya RM80 ribu bagi membiayai kos menghantar pasukan IPGKS ke Jerman.

“IPGK sedang berusaha mendapatkan dana daripada Kerajaan Negeri atau swasta, dan juga dari NGO (Persatuan Bukan Kerajaan) serta komuniti,” katanya.

Beliau berharap agar mendapat bantuan dan sumbangan dana agar dapat menghantar wakil kerana ia merupakan julung kali IPGKS layak bertanding di pentas antarabangsa dalam pertandingan robotik.

IPGKS Miri telah membeli dua kit robot menggunakan baki sumbangan dari Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat (MEITD), bagi penganjuran Projek Computational Thinking Dan STEM pada 2021.

Sebuah lagi kit robot juga telah dibeli dari baki sumbangan dari Kerajaan Negeri Sarawak, Sarawak Energy, Baitulmal Sarawak, Ahli Dewan Ungangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Koperasi IPGKS pada 2020 dan 2021 yang telah diberikan bagi penganjuran Seminar Penyelidikan Dan Inovasi Dalam Pendidikan (SPeDIP).

IPGKS Miri juga mengharapkan kejayaan pasukan ini di peringkat antarabangsa sejajar dengan Pelan Strategi IPGKS bagi melahirkan guru pelatih yang bertaraf dunia dan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga cemerlang dari segi aktiviti lain bagi memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21 sebagai guru bertaraf dunia.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan