LANGKAWI, 3 Okt – Seorang pelajar madrasah dari Banting, Selangor ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai di Hutan Lipur Lubuk Semilang di sini hari ini.
Mangsa lelaki berusia 15 tahun itu dikatakan bermain air bersama rakan-rakannya sebelum tergelincir ke dalam sungai tersebut.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi.
Ujarnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi kemudiannya dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa dikatakan sedang bermain air bersama tujuh rakan berusia antara 15 dan 16 tahun sebelum dia tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.
“Beberapa rakannya dikatakan cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal sebelum seorang daripada saksi menghubungi pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa kemudiannya ditemukan pasukan bomba yang melakukan usaha mencari dan menyelamat kira-kira pukul 11.40 pagi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – TVS