KUCHING, 3 Okt : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memaklumkan bahawa Hospital Normah baharu yang dilengkapi teknologi serba moden akan dibina.
Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan pakar untuk membantu dari segi pembinaan bangunan hospital itu nanti.
“Kita telah memutuskan untuk membina Hospital Normah yang baharu dan kita sedang lihat apakah kemudahan IT yang mesti dilengkapi pada bangunan itu.
“Kita juga akan dapatkan peralatan terbaik untuk hospital itu, “ katanya.
Menurut Abang Johari, pembinaan hospital baharu itu nanti turut merangkumi pembinaan sebuah hotel bagi tujuan menyediakan penginapan buat pesakit dan pelawat.
Cadangan bagi tapak pembinaan hospital tersebut adalah berhampiran kawasan tebingan sungai untuk memastikan pesakit dapat menikmati pemandangan sungai dan sekitarnya yang cantik.
“Hospital itu nanti akan berhampiran sungai.
“Jika berhampiran sungai, sudah tentu akan ada pemandangan macam di marina, dan mungkin kompleks membeli-belah dan kedai makan berhampiran bangunan itu juga akan turut dibina,“ katanya.
Beliau membuat pengumuman itu ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penggunaan Tiga Sistem dan Teknologi Perubatan Terkini di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada hari ini. – TVS