KUCHING, 3 Okt : Karya seniman agung P. Ramlee perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas, terutamanya dalam menyampaikan pengajaran dan ilmu kepada masyarakat sekarang.
Untuk itu, kata Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak, Dato Adi Badiozaman Tuah, kelabnya akan bekerjasama dengan kelab peminat lain di rantau ASEAN untuk memastikan hasrat itu dapat diketengahkan.
Seminar Apresiasi Karya P. Ramlee yang dianjurkan baru-baru ini telah berjaya menghimpunkan pelbagai persatuan peminat dari seluruh negara selain Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Hasil daripada itu, beberapa ketetapan telah dibuat. Satu daripadanya ialah mengeratkan lagi hubungan serantau, khususnya dalam kalangan peminat P. Ramlee,” kata Adi Badiozaman.
“Kedua ialah untuk memungkinkan gerakan keilmuan diteruskan secara teratur dan kemas supaya seniman agung itu tidak dilihat sebagai hanya seorang penyanyi dan penghibur tetapi sebagai seorang pemikir pada zamannya.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Demak Jaya, Kuching, pada Isnin.
Sementara itu, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Yusof Latiff, berkata ia merupakan salah satu usaha yang perlu diangkat bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi antarabangsa.
“Apa yang kita hasratkan supaya suara badan bukan kerajaan (NGO) serta Kelab Peminat P. Ramlee, khasnya di rantau ASEAN ini, dapat kita kumpulkan supaya menjadi satu badan yang kukuh untuk mengetengahkan perkara berkaitan seniman agung itu, terutama karyanya.
“Ini kerana Allahyarham bukan sahaja pelakon dan pengarah tetapi juga ikon kepada perpaduan dari segi memberi pengajaran kepada masyarakat. Oleh itu, kita berharap dengan usaha yang dijalankan ini, generasi muda akan menerima baik dan meneruskan usaha yang dilakukan oleh Allahyarham seniman agung negara ini,” ujarnya.
Senada dengannya, Ketua Kelab Peminat P. Ramlee Brunei Darussalam, Raden Mas Ismail, yang berharap agar seniman agung itu tidak hanya dilihat sebagai penghibur tetapi seorang yang berfikiran jauh.
“Dari sudut pandang saya, P. Ramlee bukan sekadar pengarah filem, pelakon dan penyanyi tetapi juga pemikir. Menerusi seminar sedemikian, kita dapat mengenali bahawa P. Ramlee itu lebih merupakan satu pendidikan dan pemikiran.
“Sebenarnya lebih daripada itu. Kita jangan hanya melihat P. Ramlee sebagai pelakon dan penyanyi sahaja. Dia lebih daripada itu kerana banyak pengajaran yang dapat kita pelajari daripada karya-karyanya,” kata Raden. – TVS