PENDANG, 3 Okt : Pemandu dan 29 penumpang sebuah bas persiaran nyaris maut selepas kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Kilometer 60, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan dekat sini hari ini.
Kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 3.20 petang itu dipercayai berlaku selepas bas tersebut hilang kawalan dan terbabas.
Kebanyakan penumpang dilaporkan terdiri daripada golongan warga emas.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.25 petang sebelum pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya mendapati kejadian tersebut membabitkan bas persiaran yang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand, menuju ke Kampar, Perak.
“Sebaik pasukan bomba tiba, bas itu didapati telah berada di dalam parit di kiri bahu jalan selepas dikatakan terbabas.
“Kesemua mangsa telah berjaya keluar sendiri, namun ada dalam kalangan mereka yang cedera ringan,” Zamani memaklumkan dalam satu kenyataan hari ini.
Zamani menambah, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum operasi itu ditamatkan pada jam 4.59 petang.
Operasi tersebut membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang dibantu oleh BBP Jalan Raja dan BBP Pendang. – TVS