JAKARTA, 2 Okt : Seramai 127 orang penyokong bola sepak maut akibat kekecohan yang berlaku selepas berakhir perlawanan Liga 1 Indonesia malam tadi.
Berita duka bola sepak Indonesia itu berlaku di Stadium Kahjuruhan, Malang, usai perlawanan membabitkan tuan rumah, Arema FC menentang Persebaya.
Insiden difahamkan berpunca akibat kemarahan penyokong Arema yang tidak dapat menerima kenyataan pasukan mereka tewas 2-3 kepada ‘musuh tradisi’ itu dalam tempoh 23 tahun.
Perlawanan itu berjaya menarik perhatian lebih 45, 000 penyokong.
Majoriti yang maut merupakan penyokong Arema kata jurucakap polis Malang, Nico Alfinta.
“Setakat ini 34 orang maut di stadium selebihnya meninggal dunia di hospital. Dua anggota polis turut meninggal dunia,” katanya.
Kejadian itu bermula apabila penyokong yang tidak berpuas hati menceroboh padang dan membuat kecoh sehingga polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.
Majoriti yang maut dipercayai akibat sesak nafas dan dipijak oleh penyokong lain ketika kekecohan berlaku. – TVS