IPOH, 1 Okt : Sebanyak 715 kotak mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM400,000 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Tanjung Rambutan, di sini, kelmarin.
Operasi khas kira-kira pukul 5.30 petang itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas menerima maklumat risikan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 30 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti menyimpan barangan tersebut.
“Polis turut menyita sebuah lori dan 715 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai kira-kira RM400,000.
“Siasatan awal mendapati kesemua mercun dan bunga api itu adalah simpanan tanpa permit di dalam rumah kedai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957. – TVS