LIMBANG, 1 Okt : Kawasan ini disasarkan untuk menjadi hab usahawan desa di Sarawak pada masa akan datang menerusi penganjuran mini Karnival Usahawan Desa (KUD@Limbang) 2022.
Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, potensi Limbang sebagai hab usahawan desa akan ditentukan oleh sambutan yang diterima pada karnival anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu.
Menurutnya karnival itu menjadi salah satu kaedah bagi jaringan perniagaan di antara usahawan dan pihak yang berminat.
“Kalau karnival ini menerima sambutan baik, maka kita akan mula melaksanakan apa yang perlu dibuat kemudiannya.
“Sebab itulah kita mahu program ini dipromosikan,” katanya semasa ditemui media di tapak KUD@Limbang 2022 di Kompleks Sukan Limbang semalam.
Kata Hasbi, kejayaan penganjuran program ini berpotensi untuk menarik pelabur-pelabur luar untuk ke Limbang.
Sementara itu, selain keusahawanan, Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, pihaknya juga mahu mempromosikan sektor pelancongan di sini.
Ini kerana jelasnya kekayaan produk-produk industri pelancongan di Limbang tidak diketengahkan kepada masyarakat luar.
“Pengunjung luar yang datang ke sini memuji produk pelancongan kita seperti Jeti Santaba.
“Jadi ini (KUD@Limbang 2022) satu kelainan yang kita bawa ke sini supaya rakyat tempatan dan agensi membantu mempromosikan Limbang,”katanya.
Beliau memberitahu,Limbang juga berpotensi menjadi hab sukan yang akan diterajui oleh anak-anak muda di sini.
Kawasan tersebut setakat ini mempunyai akses yang terhad kepada peralatan dan fasiliti sukan maka dengan penganjuran KUD@Limbang, beliau berharap agar dapat memberikan pendedahan tentang sukan lain kepada masyarakat tempatan. -TVS