Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gimnas Ally Hamuda Abdullah berjaya meraih pingat emas dalam acara gelang roman lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20. Foto: Fatin Nazurah
Gimnas Ally Hamuda Abdullah berjaya meraih pingat emas dalam acara gelang roman lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20. Foto: Fatin Nazurah

Kejayaan saya kerana ibu, kata Ally Hamuda

ByNurul Amarlina

KUCHING, 1 Okt : Berkat menurut saranan ibu supaya menyertai sukan gimnastik, atlet gimnastik Sarawak, Ally Hamuda Abdullah kini bergelar juara Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 baru – baru ini.

Anak muda berketurunan Bidayuh yang berasal dari Kuching ini memberitahu, dia sebenarnya tidak menyangka akan menang pingat emas menerusi acara gelang roman lelaki.

“Saya terkejut kerana persembahan ketika final tidak begitu baik namun sudah tertulis rezeki untuk menang,” katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.

Menerusi acara berkenaan, Ally menerima cabaran sengit daripada atlet Pulau Pinang, Ng Chun Chen.

Bagaimanapun, para juri kemudian mengisytiharkan mereka berdua sebagai pemenang bersama selepas masing – masing mengumpul 12.867 mata.

Kejayaan itu kata pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan selepas memenangi perak pada SUKMA 2018.

Berkongsi tentang persiapan SUKMA pula, Ally memberitahu, dia turut berdepan kesukaran termasuk untuk membahagikan masa sebagai pelajar jurusan zoologi di universiti berkenaan selain turut bekerja sebagai jurulatih di sebuah gim.

“Persediaan untuk SUKMA pula, saya rasa agak tergesa-gesa kerana jurulatih baharu tiga bulan menyertai pasukan berbanding kebiasaannya kami berlatih selama setahun,” katanya.

Katanya, setiap sesi latihan mengambil masa tiga hingga empat jam. 

Kata Ally, hanya dua minggu sebelum SUKMA bermula, dia dapat fokus untuk berlatih secara penuh.

Selepas SUKMA, Ally akan menumpukan perhatian pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja kerana telah terpilih menyertai skuad kebangsaaan.

Dekat tempat kerja ibu

Perjalanan Ally ke dalam acara gimnastik ini sebenarnya adalah atas galakan ibunya, Nabilah Abdullah yang mendaftarkannya di Pusat Gimnastik Sarawak ketika berusia tujuh tahun.

“Ibu bekerja di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia yang terletak berhampiran dengan pusat gimnastik.

“Kebetulan pada masa itu pendaftaran gimnas dibuka, jadi ibu daftarkan saya,” katanya.

Jelasnya lagi, pada mulanya agak susah untuk belajar perkara baharu namun dia mula seronok kerana dikelilingi oleh rakan sebaya.

Namun kata Ally, apabila usianya mencecah 12 tahun, semua kawannya berhenti sukan berkenaan.

“Pada awalnya, seramai enam pelatih lelaki, akhirnya tinggal saya seorang yang masih bertahan,”katanya.

Apabila ditanya sebab dia tidak berhenti, Ally memberitahu, ibunya meminta supaya meneruskan sahaja kerana dia sudah berlatih selama beberapa tahun.

Perjalanan sebagai atlet gimnastik lelaki tunggal di Sarawak terasa sunyi kata Ally.

Ditambah dengan kurangnya pendedahan orang ramai terhadap sukan tersebut, ianya telah menyukarkan perkembangannya.

“Antara komen yang sering saya dengar mengenai gimnastik ialah sukan ini terhad kepada golongan wanita sahaja malah ada yang menganggap ianya sebagai tarian.

“Setelah melihat saya beraksi, baharulah mereka faham kerana orang sering terkeliru gimnastik dengan gimrama yang menggunakan alat seperti reben dan bola,” katanya.

Berhubungan perancangan masa hadapannya, Ally yang merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik berhasrat untuk menjadi seorang jurulatih gimnas setelah bersara sebagai atlet.

Pada masa ini, dia merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang diminatinya iaitu mikrobiologi. – TV S

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan