LIMBANG, 30 Sept : Karnival Usahawan Desa (KUD) 2022 di sini anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membuka tirai hari ini hingga 2 Oktober depan.
Penganjur menyasarkan kehadiran seramai 5,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM200 000 pada acara berkenaan yang berlangsung di Kompleks Stadium Limbang.
KUD 2022 edisi keempat ini menyaksikan penyertaan seramai 100 usahawan bimbingan agensi – agensi  bawah KPLB yang menjual pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, kraf tangan, pertanian dan kesihatan.
Selain itu, penganjuran program ini dilihat mampu membawa kepada pembangunan holistik usahawan tempatan untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka.
Mini karnival ini juga menjadi platform dalam memberikan pendedahan secara terus kepada usahawan dalam perniagaan dan interaksi bersama pemborong, pengedar dan pembeli selaras dengan objektif penganjuran program.
Antara aktiviti menarik yang bakal diadakan pada KUD kali ini adalah termasuk pameran kucing, Forum Perdana, Pertandingan Liga Sepakan Penalti, acara kayuhan berbasikal fun ride dan pertandingan memasak.
Esok pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan daripada Dato Nash, Hafiz Suip dan Winnie Albert yang dijemput memeriahkan KUD@Limbang 2022. – TVS