KOTA SAMARAHAN: Kraftangan Malaysia terus komited melahirkan lebih ramai usahawan kraf dalam kalangan komuniti sekaligus membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menjadi sumber pendapatan kepada kumpulan sasar.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Rubiah Wang berkata pendedahan kepada program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mampu meningkatkan penglibatan komuniti kraf secara keseluruhannya.
Dalam tempoh dua tahun lalu, usahawan kraftangan meningkat sehingga mencecah 8,000 orang.
“Kita berharap agar perancangan yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia akan mendapat respons yang baik daripada MOTAC dan Kementerian Kewangan (MOF) kerana program Kraf Komuniti Ku (KKK) diwujudkan menerusi peruntukan khas dari pada MOF.
Malah dengan peruntukan itu juga kita berjaya meningkatkan jumlah usahawan kraf komuniti mencecah 8,000 orang dalam tempoh dua tahun di seluruh Malaysia,” ujarnya ketika melancarkan Projek Kraf Komuniti Ku Kota Samarahan di Dewan Kampung Rimba Padi di Kota Samarahan pada Khamis.
Penggiat kraftangan katanya perlu mengambil peluang itu untuk mengetengahkan produk masing-masing dalam menjana pendapatan di samping mempromosikan seni dan budaya menerusi Projek Kraf Komuniti Ku (KKK).
Projek bertujuan untuk membangunkan dan memperkasa sosioekonomi komuniti setempat serta membuka peluang mempelajari dan meningkatkan kemahiran penghasilan produk kraftangan, keusahawanan dan pemasaran.
“Oleh itu kita berharap agar lebih banyak penggiat kraftangan di kawasan Kota Samarahan dan Serian untuk terlibat dan menyertai program ini kerana masih terdapat komuniti kraf belum diketengahkan dan ditonjolkan.
Dengan program ini mereka dapat ditonjolkan menerusi minat dan bakat serta usahawan yang sedia ada dapat dikemukakan seterusnya dapat memajukan industri kraf secara keseluruhananya,” katanya.
Sarawak sinonim dengan kraftangan hasil rimba yang merupakan penyumbang kepada nilai jualan kraf.
Pada masa sama, Rubiah memberitahu penggunaan bahan semula jadi seperti daun pokok buah kristal dan midin amat sesuai untuk diketengahkan sebagai bahan dalam penghasilan batik cetakan kreatif atau ecoprint.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berharap kawasan itu dapat dijadikan sebagai hab pengeluaran produk ecoprint untuk tujuan komersial bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi secara global. -TVS