MIRI, 29 Sept : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri di sini melakar nama di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penyusunan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) terpanjang di Malaysia.
Sebanyak 691 projek PBL telah disusun di Dewan Perdana SMK Dato Permaisuri sepanjang 267 meter.
PBL merupakan kaedah pembelajaran yang membolehkan murid mengkaji sesuatu topik yang diberi untuk menghasilkan produk pada akhir pembelajaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, berkata aktiviti tersebut dapat meningkatkan kreativiti, komunikasi dan kognitif murid apabila menghasilkan projek PBL.
“Di dalam aktiviti sebegini bukan hanya menilai aspek kreativiti murid semata-mata, malah aspek komunikasi dan bahasa murid semasa mempersembahkan hasil kerja mereka, kognitif dan matematik awal seperti membuat ukuran dan mengenal bentuk diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Susunan Projek (PBL) STEM Terpanjang Di Malaysia di SMK Dato Permaisuri di sini hari ini.
Tambahnya, penerapan PBL ini memberi pelbagai impak yang positif kepada para guru dan pelajar dari segi pembelajaran dan kurikulum.
“Penerapan PBL amatlah bersesuaian pada era ini kerana memecahkan tradisi dari sesi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada pembelajaran yang berterusan, merentasi kurikulum, berpusatkan murid dan dapat mengintegrasikan isu dan amalan dalam dunia sebenar sekaligus mewujudkan nilai bertanggungjawab serta bekerjasama antara murid-murid dalam kumpulan masing- masing,” katanya.
Penilaian projek dilakukan oleh dua orang pegawai MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin (Konsultan Rekod Senior) dan Siti Nurhanim Mohd Noh (Penganalisis Penyelidikan).
Seramai 1,234 murid, 88 guru dan 15 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) berganding bahu dalam usaha menjayakan projek tersebut.
Program dilakukan bagi menghargai dan mengiktiraf usaha para pelajar dalam menghasilkan projek PBL mereka. – TVS