BINTULU, 29 Sept: Lelaki berusia 20 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama seorang rakan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan berhampiran Batu 8, Jalan Bintulu-Miri dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Alexander Adolf Anyi Chua Heng Chai berasal dari Bintulu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba I, Christus Buson berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.12 pagi.
“Setibanya di lokasi pada pukul 3.25 pagi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori sawit 10 tan dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Single Cab yang dipercayai melanggar bahagian belakang lori yang parkir di bahu jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi TVS.
Christus berkata, mangsa pertama yang merupakan pemandu pacuan empat roda berusia 21 tahun didapati mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri.
Â
Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian, manakala rakan beliau yang berada di dalam kereta yang sama kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu.
Sementara itu, dua lagi lelaki iaitu pemandu lori dan kelindan berusia 57 dan 17 tahun yang hanya mengalami kecederaan ringan juga dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan. -TVS