Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan kapal kontena yang berdaftar di Liberia dan kapal tangki yang berdaftar di Panama itu bagi memastikan situasi terkawal.
“Buat masa ini, kedua-dua kapal diarahkan untuk berlabuh di tempat selamat bagi tujuan verifikasi kerosakan dan siasatan lanjut.
“JLM juga bertindak menyiarkan navigational telex (NAVTEX) bagi memberi amaran kepada kapal-kapal yang berada di kawasan atau laluan berdekatan mengenai situasi semasa untuk mengambil langkah berjaga-jaga,” menurut jabatan itu.
Terdahulu, siasatan awal mendapati kapal MT Zephyr I yang dalam perjalanan ke Yantai, China telah hilang kawalan berikutan kegagalan sistem stereng sehingga menyebabkannya membelok ke kiri lalu melanggar starboard quarter kapal MV GSL Grania yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.
“Akibat daripada pelanggaran itu, kapal MV GSL Grania telah mengalami kerosakan pada bahagian starboard quarter, manakala kapal MT Zephyr I pula mengalami kerosakan pada bahagian depan (bow),” menurut jabatan itu lagi.
Bagaimanapun, tiada sebarang kebocoran dan tumpahan minyak dilaporkan.
“Kita juga ingin menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, JLM telah menerima laporan kecemasan melalui VTS Klang Sektor 5 berhubung insiden pelanggaran kapal berkenaan pada 4.18 pagi semalam. -TVS