KUCHING, 28 Sept: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak berharap perbentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan dapat membantu kementerian itu merancakkan lagi pembangunan industri makanan negeri.
Â
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya memerlukan peruntukan bagi melaksanakan pelbagai tanggungjawab dan memperbanyakkan program termasuk dalam usaha menjadikan Sarawak kuasa besar pertanian yang menyumbang kepada sekuriti makanan negara khasnya dan global secara amnya.
“Sarawak berharap dapat merealisasikan impiannya untuk menjadi pengekport makanan bersih pada tahun 2030 dengan melakukan penambahbaikan mengikut kaedah tersendiri dalam strategi sekuriti makanan yang dipersetujui di peringkat persekutuan.
“Oleh itu MFCORD memerlukan dana yang berterusan dari pihak persekutuan, jadi MFCORD berharap kementerian kewangan melihat ini sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan, dan kita memohon agar bajet tahunan akan ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian majlis Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak kali ke-37 di Kuching hari ini. – TVS