KUCHING, 27 September: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan penambahan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, ini bagi menampung keperluan sebenar bagi menangani permasalahan psikososial pesakit di institusi kesihatan awam.
Jelas Aaron, penambahan PKSP merupakan agenda utama dalam kementeriannya yang sedang giat diusahakan.
“Kita akan berusaha dalam perancangan yang akan datang, sekarang ini kita sedang sediakan kertas putih bagi kementerian kesihatan, yang mana agenda mengenai PKSP ini juga termasuk dalam perancangan kita, “ katanya.
Aaron menegaskan, penambahan itu wajar kerana jumlah kes yang tinggi setiap tahun melibatkan perkhidmatan kerja sosial perubatan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Aaron memaklumkan, cadangan mewujudkan ‘Virtual Consultation’ antara PKSP dan pesakit sedang diperhalusi kementeriannya.
Jelasnya, sekiranya kemudahan itu diwujudkan, beliau percaya ia akan memudahkan PKSP memberi rawatan dan mendapatkan perkembangan pesakit terutama di kawasan pedalaman Sarawak.
“Yang mana pesakit tidak dapat hadir disebabkan tinggal berjauhan dan sebagainya, mereka boleh mendapatkan rawatan daripada PKSP secara maya.
“Jika projek ini direalisasikan, ia memudahkan dan menguntungkan kedua-dua belah pihak, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan perasmian Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia Ke-25 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Persidangan yang dianjurkan buat kali kedua di Sarawak itu bertujuan mengembleng usaha dan komitmen PKSP bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada di tahap terbaik. -TVS