MIRI, 27 Sept : Sebanyak 400 penyertaan didaftarkan untuk Perlumbaan Kuala Baram: Karnival Perlumbaan Berbasikal yang akan diadakan pada 16 Oktober 2022 bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.
Perlumbaan tersebut membabitkan peserta dari dalam dan luar negara, iaitu 47 peserta antarabangsa, 13 peserta dari Semenanjung, 26 peserta dari Sabah, seorang peserta dari Labuan, dan 313 peserta dari Sarawak.
Pertandingan ini terbahagi kepada lapan kategori, iaitu Elit Lelaki (18-29 tahun), Master A Lelaki (30-39 tahun) Junior Lelaki (17 tahun ke bawah), Veteran Lelaki (40-49 tahun), Master B Lelaki (50 tahun ke atas), Terbuka Wanita, Super Xl (BMI 35 ke atas) dan Basikal Lipat.
Menurut Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, sebahagian daripada Jalan Lutong-Kuala Baram akan ditutup kerana laluan yang akan diguna pakai untuk acara itu akan bermula dan berakhir di Taman Buaya Miri.
“Sebahagian jalan akan ditutup di Jalan Lutong-Kuala Baram bermula dari Taman Buaya sebagai titik Mula dan Tamat menuju ke arah lampu isyarat Jalan Marigold kerana perlumbaan ini akan menggunakan laluan ini,” kata Yii.
Beliau berkata demikian semasa sidang media bagi Perlumbaan Kuala Baram: Karnival Perlumbaan Berbasikal Majlis Bandaraya Miri (MBM) di Dewan Bandaraya Miri semalam.
Laluan tersebut akan dipantau oleh pasukan polis Miri untuk memastikan keselamatan peserta sepanjang larian.
Jarak perlumbaan bergantung kepada kategori penyertaan dengan jarak maksimum 100 kilometer dan jarak minimum 50 kilometer.
Yii berharap acara sebegitu dapat merancakkan sektor pelancongan sukan di Miri di samping mempromosikan Miri sebagai bandar raya peranginan yang boleh didiami.
“Kami berharap kami akan mencapai objektif acara tersebut untuk mempromosikan Miri sebagai destinasi baharu bagi Acara Lumba Berbasikal, khususnya di Sarawak dan di Malaysia amnya, serta meningkatkan pelancongan sukan bagi bandar raya Miri dalam usaha merealisasikan visi ‘Bandar Raya Miri ke arah Bandar Raya Peranginan yang boleh didiami’,” ujarnya.
Hadiah bernilai keseluruhan RM22,600 disediakan untuk pemenang perlumbaan ini dengan hadiah istimewa diberi kepada ‘Best Sprinter’ dalam kategori Elit Lelaki dan Master A Lelaki.
Pertandingan ini dianjurkan oleh MBM di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dengan kerjasama Kelab Berbasikal Masterpiece.
Pihak MBM dan penganjur menyasarkan seribu pengunjung dalam kalangan orang awam dan pelancong untuk menyaksikan acara tersebut. – TVS