BUKIT MERTAJAM, 27 Sept : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 45 pekerja asing dalam serbuan di dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Juru di sini hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 10.40 pagi itu membabitkan kilang pembuatan plastik dan kotak yang dikesan beroperasi dengan menggaji pekerja asing.
Kesemua 45 pekerja asing yang ditahan didapati telah melakukan pelbagai kesalahan imigresen pada operasi selama kira-kira dua jam itu.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin berkata, terdapat pekerja asing yang bertindak agresif dengan cuba melarikan diri ke kawasan semak berdekatan kilang sebaik menyedari kehadiran anggota dan pegawainya.
“Bagaimanapun, tujuh daripada mereka yang cuba lari itu gagal meloloskan diri dan berjaya dicekup semula.
“Mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah, penyalahgunaan pas lawatan dan tinggal di negara ini melebihi masa.” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Shah Inor, siasatan mendapati kebanyakan pekerja asing terbabit memasuki negara ini secara haram dipercayai dengan menggunakan laluan lorong tikus.
“Terdapat pekerja asing wanita dari Myanmar baru bekerja selama tiga bulan tanpa mempunyai dokumen.
“Bila kita tanya, dia mengelak untuk memberikan maklumat bagaimana memasuki negara ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, 16 pekerja asing yang di tahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala 29 lagi mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pekerja asing yang ditahan kemudiannya dihantar ke Lokap Penguatkuasa Pejabat Imigresen Seberang Jaya di sini untuk tindakan lanjut. – TVS