KUCHING, 27 Sept : Game Jam 2022 merupakan acara seumpamanya yang julung kali dianjurkan di Sarawak, dan melibatkan 12 peserta dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Swinburne University of Technology Sarawak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan The One Academy.
Ia dianjurkan oleh Sarawak Game Developers Community (SWKGDC) dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
SWKGDC Game Jam 2022, yang berakhir Ahad lepas, merupakan program ala ‘hackathon’ di mana peserta boleh membuat prototaip permainan yang boleh dimainkan dalam masa 48 jam.
Ia memupuk kreativiti dan pertukaran idea dengan membenarkan pembuat-pembuat yang memiliki kemahiran berlainan untuk berkolaborasi.
Sehari sebelum program Game Jam 2022 bermula, pereka permainan, Aaron Lim, telah mengendalikan bengkel amali selama tiga jam untuk memberikan kursus kilat dalam perekaan permainan, daripada mekanik kepada falsafah, dan konsep keseronokan.
Selain Aaron dari Kindling Interactive, penceramah dan mentor lain bagi SWKGDC Game Jam 2022 adalah Lee Zhi Eng dari Kloena Digital, Nehemiah Raymond dari TrifoldX, Ika Sulastri Mohamad Dahlan Donald dari Moredoor Interactive serta Joshua Chung dan Suan Goh dari CtrlD Studio.
Para mentor, yang merupakan pengasas-pengasas syarikat pemula dan syarikat pembangunan permainan, membahagikan pengalaman dan kepakaran mereka bersama peserta dalam usaha mereka merealisasikan permainan mereka.
“Ia mengagumkan untuk melihat apa yang dapat dihasilkan oleh peserta dalam masa yang begitu singkat. Mereka bekerja sebagai satu pasukan, walaupun dicabar dengan kekurangan tidur, bug perisian dan tarikh akhir yang ketat,” kata Eksekutif Program dan Perkongsian TEGAS, Jacob Jim.
“Saya berasa sangat bangga dengan bakat yang kita ada di Sarawak. Kami berharap melalui program ini, kami dapat menyokong komuniti permainan tempatan dan menghasilkan lebih banyak syarikat pemula permainan di Sarawak.”
Empat permainan, iaitu Traffic Rush, Pinaru, Office Chaos dan Luminen, yang menyentuh pelbagai aspek dalam kehidupan seperti budaya pejabat toksik, trafik tempatan, cerita masyarakat dan legenda, telah dihasilkan dengan cepat di TEGAS Digital Village oleh pasukan-pasukan yang masing-masing dianggotai tiga peserta.
“Sebagai pembuat permainan, saya teruja menjadi sebahagian daripada program ini sebagai penceramah dan mentor. Ia adalah program yang amat bagus untuk memberi inspirasi kepada komuniti permainan Sarawak. Saya percaya Sarawak mempunyai bakat untuk menghasilkan lebih banyak syarikat pemula permainan yang dapat menyumbang kepada ekonomi digital,” kata pengasas Kloena Digital, Lee Zhi Eng.
Peserta menerima faedah daripada MYStartup, termasuk ‘Azure cloud’ percuma bernilai AS$150,000 selama dua tahun (bermula pada AS$1,000), berserta langganan setahun bagi Office 365 Business Apps, Power Automate, Dynamics 365 Customer Service Enterprise, Dynamics 365 Sales Enterprise, Dynamics 365 Team Member and Dynamics Professional Direct Support, selain akses percuma selama dua bulan kepada TEGAS Digital Village dan Hab Inovasi Digital di Kuching, Bintulu dan Miri.
Permainan yang dibangunkan semasa program itu akan dipaparkan dalam What About Kuching 2022 (WAK22) yang akan diadakan di Kuching pada 8-9 Oktober. – TVS