Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian dari babak Bangsawan Bujang Jaoh, Putera Kejora yang memukau para penonton. Foto: Saibi Gi
Sebahagian daripada babak Bangsawan Bujang Jaoh, Putera Kejora yang memukau penonton. Foto: Saibi Gi

Pementasan ‘Bujang Jaoh, Putera Kejora’ mengimbas kembali zaman teater bangsawan

TIGA jam yang penuh dengan bicara, aksi dan ulasan, pementasan teater bangsawan ‘Bujang Jaoh Putera Kejora’ cukup menghiburkan para penonton yang memenuhi ruang Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru, Kampus Batu Lintang, Kuching.

Hasil sentuhan seni Taksu Zacharia, persembahan mantap barisan pelakon mendapat tepukan gemuruh para penonton setiap penghujung tujuh babak pementasan yang bermula pada jam 8.30 malam pada Jumaat dan Sabtu malam (23 dan 24 Sept 2022).

Setiap pengakhiran babak diselangkan dengan persembahan nyanyian dan tarian, serta diiringi alunan muzik dan lagu Melayu asli. Cukup mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan teater bangsawan sekitar 1930-an. Ketika itu tiada hiburan lain, kecuali pementasan teater bangsawan. 

Baca artikel berkaitan: Teater bangsawan Sarawak perlukan lebih sokongan dan pengiktirafan untuk kekal relevan

Bagi memberi masa kepada para pelakon dan barisan produksi beraksi pada babak-babak seterusnya, “tauke panggung” (Saed Ahmad) akan menghiburkan para penonton dengan celoteh dan ulasan cerita – agar penonton lebih faham jalan cerita. 

Taksu Zacharia, bukan nama yang asing lagi dalam bidang teater di Kuching. Beliau menjelaskan pementasan bangsawan adalah untuk menyegarkan kembali nostalgia lama dan memperkenalkannya kepada generasi muda. 

“Sambutan yang diterima menerusi pementasan bangsawan ini amat memberangsangkan. Ia ditonton sekitar 800 orang (jumlah keseluruhan dua malam),” ujarnya.

Mengenai perancangan, beliau menyatakan akan mementaskan satu lagi teater bangsawan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol turut menyaksikan pementasan teater bangsawan ini pada Sabtu malam.

Beliau yang merupakan peminat teater memuji hasil karya ‘Bujang Jaoh, Putera Kejora’ dan menyifatkannya sedikit-sebanyak menggamit kembali nostalgia pementasan bangsawan yang dahulunya sering dipentaskan di kampung.

Jalan cerita mudah difahami dan pengakhiran mudah diteka, teater ini mengisahkan seorang putera raja diberi nama Bujang Jaoh (dilakonkan olen Ameer Dawi) yang disumpah nenek kebayan dilahirkan bongkok dan hodoh. 

Nenek Kebayan Mungguk Angus (Siti Hasrina Mohamad Shamsuddin) berkehendakkan darah putera raja agar sumpahan terhadap dirinya dan anaknya, Puteri Kabayan (Dayang Erna Ellmira), ditamatkan dengan menggunakan darah anak Raja Panji Reso (Haziq Fadhullah). 

Kisah bermula ketika Raja Panji Reso sedang bergembira berkongsi berita gembira bahawa Permaisuri Siti Candera (Nur Rima Shafiqah Malai) bakal melahirkan putera sulung mereka kepada para memanda menteri di balai rong seri istana.

Ketika dihiburkan dengan tarian bagi meraikan berita gembira itu, seorang penari istana dirasuk Nenek Kebayan dan menyatakan niatnya berkehendakkan darah putera raja setelah dilahirkan.

Nenek Kebayan mengenakan sumpahan ke atas putera agar ia dilahirkan tidak sempurna sekiranya dia gagal beroleh darah.

Selang beberapa waktu, setelah putera raja dilahirkan, Raja Panji Peso dan permaisurinya dengan berat hati membuang putera mereka di tengah hutan dengan bantuan mamanda menteri. Keputusan yang sukar itu diambil bagi mengelakkan Nenek Kebayan mengapa-apakan putera.

Setelah memanda menteri meninggalkan bayi keseorangan di hutan belantara, dia dibesarkan dan dididik oleh seorang lelaki yang dipanggilnya “ayah” (Shahrul Iskandar). “Ayah” membesarkannya dengan penuh kasih sayang dan berbagai ilmu kehidupan.  

Pada satu ketika, setelah Bujang Jaoh dewasa, saat dia berburu dengan ayahnya, mereka didatangi Habib Nuh Keramat Wali Allah (Ramdi Bujang) yang menceritakan siapa sebenarnya diri Buang Jaoh.

Jika ingin pulih dari bongkok dan wajah yang hodoh, Bujang Jaoh perlu mendapatkan bertemu Puteri Laila Juwita (Asfareen Ahmad) yang boleh dicarinya di telaga tujuh.

Berkelanalah Bujang Jaoh untuk mencari kebenaran kata-kata Habib Nuh Keramat Wali Allah. Dipendekkan cerita, setelah meminum air mata Puteri Laila, maka berubahlah wajahnya menjadi tampan, bongkoknya pun tiada lagi – sesuai dengan penampilannya sebagai putera raja.

Ketika itu juga Nenek Kebayan dan anak gadisnya muncul dan berlaku pertarungan antara dia dan Bujang Jaoh – sama-sama hebat, justeru tiada yang tewas tiada juga yang menang.

Satu lagi pesan Habib Nuh Keramat Wali Allah, setelah pulih fizikalnya, Bujang Jaoh perlu ke istana untuk bertemu dengan ayahanda dan bondanya. Raja Panji Reso ketika itu sedang kurang sihat.

Habib Nuh Keramat Wali Allah yang menghadap Raja Panji Reso memaklumkan bahawa dia telah berjumpa dengan anakandanya yang dibuang ketika kecil. Maka giranglah hati raja dan permaisuri mendapat berita itu, lantas bersiap-siaplah mereka untuk menanti dan menyambut kehadiran anakanda.

Tibalah hari sangat dinantikan, Bujang Jaoh menghadap ayahandanya di Istana Inderapura Bintang Kejora. Segak dan berpakaian kemas, sesuai dengan darah bangsawan yang mengalir dalam tubuhnya.

Diteliti Raja Panji Reso keris yang dipersembahkan kepadanya oleh Bujang Jaoh, maka sah inilah putera ditinggalkan di hutan ketika masih bayi dahulu. Bujang diberikan nama Putera Kejora sejak kecil lagi oleh ayahanda dan bondanya.

Raja Panji Reso, bagi menghargai jasa “ayah” yang membesar dan menjaga Putera Kejora sehingga cukup sempurna sifatnya, baginda menganugerahkan agar “ayah” menetap bersama mereka di istana.

Tidak berapa lama selepas pertemuan ini diraikan dengan kegembiraan, muncul semula Nenek Kebayan dengan puterinya demi menuntut darah Putera Kejora.

Pertarungan maha hebat kali kedua antara mereka menyebabkan Putera Kejora cedera ringan dan darah mengalir dari tangannya. Lantas Nenek Kebayan menyapu darah itu ke mukanya dan anak gadisnya. Berubahlah wajahnya menjadi sempurna dan tidak lagi bongkok, begitu juga anak gadisnya.

Nenek Kebayan pun menceritakan bagaimana wajahnya dan puterinya bertukar menjadi hodoh. Rupa-rupanya mereka anak-beranak disumpah dan dihalau dari negeri mereka. Untuk menamatkan sumpahan itu, mereka perlu menyapu darah putera raja ke muka. 

Lega apabila mendengar cerita itu, Raja Panji Reso dan Putera Kejora sedia berdamai dengan Nenek Kebayan. Nenek Kebayan dengan anak gadisnya dibenarkan tinggal di negeri yang dinaungi Raja Panji Reso.

Putera Kejora pula dijodohkan dengan Puteri Kabayan. Begitulah pengakhiran kisah yang dipentaskan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan