KUCHING, 26 Sept : Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menafikan berlaku kes culik melibatkan seorang murid darjah satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Batu 10 seperti yang ditularkan hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sejurus mengesan penularan hantaran kejadian itu di beberapa akaun Facebook, pihaknya telah berhubung dengan guru besar sekolah itu.
“Guru besar menafikan beliau telah memberi maklumat kononnya terdapat muridnya yang menjadi mangsa culik seperti dikongsi di Facebook,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata, tindakan menyebarkan berita kononnya berlaku kes penculikan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab kerana polis tidak menerima sebarang laporan.
“Sehubungan itu orang awam dan media dinasihatkan agar mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang laporan,”katanya.
Beliau memberitahu, kenyataan yang disiarkan tanpa pengesahan serta bukti boleh disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -TVS