Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lee bersama peserta Pertandingan Grand Old Lady Sarawak Open yang dianjurkan oleh Kelab Pencinta Burung Kicau (Pekicau) Miri di Coco Cabana. Foto TVS

Hobi sihat mengisi masa lapang dan mengurangkan jenayah

MIRI, 25 Sept : Kepelbagaian aktiviti dan hobi dalam kalangan individu mampu melahirkan masyarakat yang sejahtera, meskipun mereka mempunyai minat yang berbeza dari aspek sukan, seni dan sebagainya.
 
Masyarakat juga akan menjadi lebih aktif dan cergas apabila mereka meluangkan masa bersama komuniti yang meminati hobi atau kegemaran yang sama.
 
Oleh yang demikian, masyarakat digalakkan untuk memajukan aktiviti sosial yang baik berasaskan hobi bagi mendapat kebaikannya.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, menyuarakan kekhuatirannya dan ibu bapa mengenai generasi muda yang kerap bermain dengan telefon.
 
Beliau berkata demikian semasa Pertandingan Grand Old Lady Sarawak Open yang dianjurkan oleh Kelab Pencinta Burung Kicau (Pekicau) Miri di Coco Cabana pada hari ini.
 
“Saya kadang-kadang berasa khuatir, anak-anak bermain dengan telefon setiap hari sehingga tidak keluar dari rumah.
 
“Itulah yang diadu oleh golongan ibu bapa kepada saya, anak-anak mereka setiap hari main telefon hingga tengah malam, menyebabkan kesukaran untuk bangun awal pagi untuk pergi ke sekolah,” katanya.
 
Selain itu juga, jenayah juga dapat dikurangkan apabila seseorang mengisi masa lapang dengan hobi yang sihat.
 
“Ini juga salah satu caranya kita boleh mengurangkan masalah jenayah.
 
“Apa akan jadi jika orang melepak dan pada masa yang sama tidak mempunyai sebarang minat?
 
“Pastinya mereka akan terpengaruh dengan gejala negatif seperti menghidu gam, makan dadah dan membuang masa dengan melepak.
 
“Bayangkan jika semua orang mempunyai aktiviti yang sihat, pasti mereka tidak akan ada masa untuk melibatkan diri dengan gejala yang negatif,” kata Lee lagi.
 
Melihat kepada perkara sebegini, Lee menyatakan sokongannya kepada persatuan dan kelab seperti Kelab Pekicau yang menganjurkan pertandingan untuk mereka yang mempunyai hobi menjaga burung.
 
Enam kategori burung telah dipertandingkan iaitu murai batu A dan B, murai kampung A dan B serta murai batu kepala putih dan serindit dengan hadiah wang tunai sebanyak RM4,100.
 
Seramai 250 penggemar burung menyertai pertandingan ini dari seluruh Sarawak seperti Kuching, Sri Aman, Seratok, Belaga, Balingian, Mukah, Bintulu, Sibu dan sekitar Miri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan