LAWAS, 26 Sept : Belia Sarawak perlu memiliki jati diri yang tinggi untuk memastikan mereka dapat meneruskan perjuangan untuk mempertahankan hak-hak Sarawak seperti Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mahu agar belia Sarawak didedahkan dengan fakta sebenar sejarah Sarawak dan MA63.
Menurutnya, belia-belia yang berpengetahuan dan didedahkan dengan fakta sebenar sejarah Sarawak akan dapat meneruskan perjuangan pemimpin Sarawak bagi mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang terhakis.
“Para belia dan beliawanis kita harus faham tentang sejarah kita dan kita harus memahami intipati dan jiwa yang ada dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
“Ini akan kita teruskan supaya apa yang menjadi hak kepada kita akan terus diberi balik kepada kita berdasarkan kepada perlembagaan Malaysia dan MA63 beserta dengan laporan jawatankuasa IGC ,” katanya pada perasmian penangguhan Karnival Belia Excellence Lawas di Komplek Sukan Lawas semalam.
Tegas beliau, usaha menuntut hak-hak Sarawak ini adalah untuk kepentingan rakyat Sarawak dan berkat perjuangan berterusan kepimpinan di Sarawak, beberapa tuntutan Sarawak telah berjaya diselesaikan malah pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Malaysia juga berjaya dilaksanakan di Dewan Rakyat. – TVS