SIMUNJAN, 25 Sept : Sektor pelancongan negara dilihat bertambah baik sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Dato Sri Nancy Shukri.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sepanjang tempoh itu, negara telah menerima kehadiran seramai 3.21 juta pelancong.
“Perbelanjaan dalam negara yang direkodkan oleh pelancong asing mencecah RM 9.35 billion.
“Jumlah kemasukan pula menghampiri sasaran kementerian iaitu seramai 4.5 juta pelancong dengan nilai perbelanjaan sama,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Festival Citrawarna, Kesenian dan Kebudayaan Simunjaan 2022 malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Mohd. Zamri Mat Zain, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Promosi Pelancongan Malaysia, Dato Sri Dr Anil Jeet Singh Sandhu dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS), Abdul Lattif @Bujang Poli.
Impak positif kemasukan pelancong asing kata Nancy akan mampu mengerakkan aliran tunai yang disumbangkan aktiviti ekonomi dan memberi kesan kepada peniaga kecil dan besar.
Sementara itu, Nancy turut memuji usaha PERKAJAS dengan kerjasama Pejabat Daerah Simunjan yang dilihat mampu membantu mempercepatkan fasa pemulihan pelancongan seni dan budaya terutama di daerah berkenaan.
“Saya amat teruja apabila mendapat tahu program ini mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan masyarakat Simunjan malah ada yang datang dari Kuching, Asajaya, Sebuyau dan beberapa kawasan lain.
“Melalui program ini, ramai peniaga dalam dan luar Simunjan hadir dan terlibat dalam aktiviti perniagaan sekaligus menyokong ekonomi di sini,”katanya.
Pada majlis sama, Nancy turut memaklumkan beberapa tarikan baharu telah dibangunkan di Simunjan.
“Sebelum ini kita mempunyai tarikan seni seperti arca udang galah, lukisan tiga dimensi dan hiasan gegantung payung di pintu masuk Padang Sentral dengan kerjasama Balai Seni Negara.
“Tidak lama lagi kita akan wujudkan beberapa lokasi tarikan instagramable menggunakan karya seni awam yang dibina bersama komuniti.
“Kita juga akan menarik pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang berasal dari Simunjan untuk terlibat sama dalam kerja sukarelawan membangunkan projek ini,”katanya. -TVS