Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Regatta Batang Kayan 2022 semalam. Foto TVS

Tidak wajar peruntukan Sarawak sama dengan Perlis dan Melaka – Abdul Karim

LUNDU, 24 Sept : Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini perlu memberi perhatian kepada keluasan negeri dan keperluan pembangunan setempat, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, oleh itu ‘tidak wajar’ sekiranya jumlah yang disalurkan kepada Sarawak sama seperti kepada negeri – negeri yang bersaiz jauh lebih kecil seperti Perlis dan Melaka.

Dalam soal ini, Abdul Karim berkata, walaupun Kerajaan Sarawak mempunyai kewangan tersendiri untuk memacu pembangunan negeri, namun Kerajaan Persekutuan juga perlu memainkan peranan dengan mengambil kira sumbangan Sarawak.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2023 : Sarawak perlukan peruntukan lebih, kata Awang Tengah

“Di Sarawak, masih terdapat kawasan yang memerlukan kemudahan prasarana yang baik dan menerusi Bajet 2023, kita berharap ada peruntukan untuk membantu mereka di sana terutamanya untuk anjakan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Regatta Batang Kayan 2022 di sini semalam.

Semalam, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut meluahkan hasrat agar pembentangan Bajet 2023 oleh Kerajaan Persekutuan perlu memberi pertimbangan kepada keperluan Sarawak dengan memberi peruntukan yang lebih besar.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, asas kepada permintaan peruntukan besar untuk Sarawak ialah kerana terdapat banyak projek pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri selain projek- projek oleh Kerajaan Persekutuan.

“Menerusi peruntukan besar, kita akan dapat membangunkan keseluruhan Sarawak,”katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau berharap tidak ada cukai baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan menerusi pembentangan bajet berkenaan.

“Harapan saya ialah agar bajet itu mesra rakyat.

“Pilihan Raya Umum juga dikatakan semakin hampir, jadi janganlah bebankan rakyat dengan cukai tertentu sebaliknya ringankan beban mereka,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan