KUALA LUMPUR, 24 Sept : Ibu segala pingat Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menjadi milik Terengganu selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada final acara bola sepak lelaki di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Pencapaian dilakar skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu membolehkan Terengganu menamatkan penantian 12 tahun memenangi emas sementara Pulau Pinang yang belum pernah meraihnya, terus tidak bernasib baik selepas turut kecundang di final pada edisi 2000 dan 2002.
Pada aksi tersebut, Pulau Pinang tampak lebih agresif melakukan serangan, namun dikejutkan dengan jaringan pembukaan Terengganu menerusi tandukan ketua pasukan Muhammad Safwan Mazlan pada minit ke-24 yang gagal diselamatkan penjaga gol Muhammd Azam Ramli.
Pulau Pinang tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan balas berbahaya apabila Muhammad Khairul Ikram Zulkefly terlepas peluang keemasan untuk meledak gol penyamaan selepas rembatan dari jarak dekat tepat ke dakapan penjaga gol.
Namun, menghampiri masa rehat Pulau Pinang seakan mula hilang arah sekali gus membenarkan Terengganu mengawal permainan sehingga hampir mendahului 2-0 tetapi rembatan Ahmad Aqil Asyrah Awang diselamatkan.
Ahmad Aqil sekali lagi terlepas peluang terbaik untuk menggandakan kedudukan buat pasukan selepas rembatannya dari dalam kotak penalti dinafikan dengan bijak oleh Muhammad Azam.
Pulau Pinang terus mencuba untuk mendapatkan gol penyamaan dengan melancarkan serangan bertalu-talu, namun benteng pertahanan Terengganu diketuai Muhammad Safwan terlalu kebal, sebelum gol sendiri Muhammad Aidil Azuan pada minit ke-84 meranapkan impian pasukan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Badrul Afzan berkata beliau sangat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan pasukannya biarpun hanya membawa 21 pemain ke Sukma kali ini.
“Dari awal saya ingatkan pemain tentang sasaran pasukan adalah layak ke suku akhir dulu kemudian langkah demi langkah. Bermula dari aksi lawan Sabah, Kelantan, Perlis, Selangor dan kini Pulau Pinang kita tempuhi bersama.
“Secara keseluruhannya saya amat berbangga dengan pemain dan ini adalah masa depan pemain-pemain pembangunan untuk pasukan Terengganu FC 2 tahun depan,” katanya.
Kejayaan Terengganu meraih emas bola sepak adalah yang keempat dalam sejarah penganjuran Sukma selepas kontinjen itu muncul juara hatrik dari edisi 2006 hingga ke edisi 2010.
Perlawanan malam ini turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – TVS